Popular Posts

Wednesday, April 18, 2012

LIDAH OH LIDAH...



Tiba-tiba malam ini hatiku tergerak untuk cari satu artikel berkenaan 'lidah', sememangnya hati ini sudah lama terluka, terluka dek bahana lidah, lidah insan-insan yang hadir dalam hidupku di tempat aku bekerja...

Segala yang aku lalui ditempat kerjaku ini banyak memberi aku pengajaran; berhati-hati dengan siapa aku bercakap dan jangan amalkan habit suka berbual kosong. Banyak ujian hidup telah aku lalui, ujian-ujian itu mengajar aku supaya banyakkan diam; apabila aku banyakkan diam, semakin banyak aku mendengar dan buat pemerhatian. Disekelilingku ramai insan-insan yang suka mengata, mengutuk dan memburukburukkan orang lain.(Alangkah baiknya kalau mereka sedar perbuatan mereka telah melukakan hati orang lain). Ya Allah sentiasalah beri taufiq dan hidayahMu kepadaku, janganlah engkau masukkan aku di dalam golongan orang-orang yang suka mengumpat, mengata, mengutuk dan memburuk-burukkan orang lain kerana dosanya amat besar. Amin…. 


Artikel dibawah ini ku ambil khas untuk mendidik diriku dan juga jiwaku, bukan untuk kiasan atau sindiran pada mana-mana pihak…. 


Lidah anggota yang paling merbahaya 

Mulut dan lidah dengan fungsinya sebagai alat pertuturan adalah antara anggota yang liar dan merbahaya. Jika tidak dikawal dengan sewajarnya, ia boleh mendatangkan fitnah, permusuhan dan kecelakaan. Hakikat ini telah pun disedari oleh ahli-ahli bijak pandai zaman nenek-moyang kita. Mereka memperkatakannya dalam bentuk bahasa yang indah. Antaranya: 

"Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa".

Antara madah ulama pula ialah: 

• "Peliharalah lidahmu, kerana lidah itu menempah kebinasaan dirimu".(Ibnu al-Mubarak). 

• "Jangan gunakan lidahmu untuk berbicara tentang apa yang boleh mematahkan gigimu". (Imam ufyan al-Tsauri). 

Abu Sufyan bin 'Abdullah al-Saqafi telah bertanya kepada Rasulullah saw, "Apakah anggota manusia yang paling merbahaya?". Rasulullah menunjukkan lidah baginda dan bersabda, "Inilah". Mulut dan lidah itu menjadi begitu merbahaya apabila disalahgunakan. Penggunaannya yang betul akan mendatangkan kebajikan dan kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. 

Penggunaan yang betul dan dituntut ialah untuk: 

• berzikir, 

• membaca al-Quran, 

• menyampaikan ilmu, nasihat dan dakwah, 

• berdoa, berkomunikasi dengan Allah dan manusia untuk menyampaikan hasrat dan atau memohon hajat yang diredai Allah, yang diharuskan oleh syar'i . 
Penggunaan lidah (pertuturan) yang ditegah ialah: 

• berdusta, sama ada secara sungguh-sungguhan atau pun main-main (gurauan), 

• berjanji untuk tidak ditunaikan (berdusta untuk menipu). Rasulullah saw bersabda: 
"Ada tiga perkara yang sesiapa terlibat dengan salah satu daripadanya, maka dia adalah munafiq, walaupun dia mengamalkan puasa dan sembahyang, iaitu, apabila bercakap dia berdusta, apa berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianati" 

• mengumpat, memfitnahkan orang, menghasut atau menjadi batu api, mencerca, memaki-hamun dan sebagainya). Rasulullah saw bersabda: "Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih jahat daripada berzina. Penzina, apabila bertaubat, mungkin diampuni Allah, tetapi pengumpat tidak diampuni oleh Allah sehingga dia diampuni oleh orang yang diumpatnya". 

• mencacatkan cakap orang dan membenarkan cakap sendiri (mirak) serta berbantahan (jidal). Rasulullah saw bersabda: "Tidak sempurna iman seorang hamba Allah sehingga dia meninggalkan tindakan mencacatkan cakap orang dan berbantahan, walaupun dia benar". 

• memuji diri. Allah Taala berfirman: "Maka jangan kamu mengatakan diri kamu suci (memuji diri). Dia (Allah) maha mengetahui tentang orang yang bertaqwa". (al-Najm : 32) 

• mengutuk dan memaki makhluk. 

• mendoakan kejahatan (keburukan) untuk manusia, walau manusia itu zalim. 

• mengeluarkan kata-kata kotor, kesat, lucah, lucu, sindiran dan gurau-senda dengan tujuan menghina dan memalukan seseorang. 

Menurut Imam al-Ghazali, semua tindakan lisan yang tersebut di atas adalah dikategorikan sebagai "kata-kata haram". Di samping itu, banyak menuturkan "kata-kata harus" yang tidak berfaedah (perbualan yang sia-sia) ditegah juga. Kerana, apabila banyak berbicara, berborak umpamanya, selalunya lidah tergelincir lalu menuturkan kata-kata yang haram itu. Kalau tidak demikian pun, banyak berkata-kata itu sekurang-kurangnya merugikan masa. Mengikut ulama, panjang cakap akan memanjangkan hisab di akhirat kelak. 

Malik bin Dinar bermadah, "Apabila engkau dapati rasa degil bersarang di hatimu, terasa daif beribadat dan sukar mendapat razeki, maka ketahuilah, semuanya itu disebabkan oleh ucapan lidahmu mengenai perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu". 

Di samping menempah dosa, penyalahgunaan lidah juga menjejaskan amal kebajikan dan mempengaruhi anggota-anggota lain untuk melakukan dosa. Abu Sa'id al-Khudri meriwayatkan: Setiap pagi segala anggota manusia berpesan kepada lidah: "Engkau hendaklah selalu menjalankan perananmu dengan betul, mengikut perintah Allah. Jika engkau betul, maka betullah kami. Jika engkau bengkok, maka turut bengkoklah kami". 


benar lidah adalah anggota paling tajam
ketajamannya melebihi ketajaman pedang
hirisan lidah itu mampu melukakan hati
lidah yang tajam mampu membunuh orang di sekitarnya

begitulah bahayanya lidah….. 


Di petik dari Halaqah.net



Lidah walaupun lembut tidak bertulang, 
peranannya hebat sekali,
boleh membunuh dan boleh menghidupkan,
boleh mendamaikan dan boleh memporak-perandakan,
boleh menghina dan boleh memuliakan,
boleh mempesona dan boleh meliarkan,
boleh menghasut dan boleh memujuk,
maka gunakanlah lidah dengan sebaik-baiknya.(◕‿◕).


No comments:

Post a Comment