Popular Posts

Sunday, May 30, 2010

PERJUDIAN BOLASEPAK HALAL ???

Perjudian Bolasepak Akan Di'Halalkan'?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Perjudian adalah satu jenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam. Malah juga dilarang oleh semua agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien yang menyatakan pertimbangan sedang dibuat untuk meluluskan lessen perjudian bolasepak sempena kejohanan Bola sepak Piala Dunia yang akan datang ini.

HUJJAH BELIAU

Beliau dirakamkan oleh akhabar tempatan berkata :

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."

BANTAHAN & RASIONAL

Pegeluaran lesen atas alas an untuk mengawal dan mengethaui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.

Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa:

‘Kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka"

"Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, so jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan akan mendapat sesuatu"

ANALOGI

Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin menbenarkan benda yang tidak benar.

Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar & mengawal MAT REMPIT yang berempit di atas jalan raya secara haram, maka KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mt rempit di atas JALAN RAYA AWAM. Semua mat rempit mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.

Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap' untuk dijadikan ‘terang' tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

JUSTERU

Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukannya meraikan dan meluluskannya.

Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam :-

a- Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya, yang sering diserbu, diharamkan DAN DISITA oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah ingin membenarkan skim tersebut, perjudian adalah salah satu jenis skim cepat kaya, yang sering membawa kayap.

b- Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumahtangga. Pergaduahan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya,

c- Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian khususnya secara online. Dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen telah diberi oleh kerajaan dan perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan.

d- Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bolasepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya ‘exited' untuk melihat pasukan yang disokong, kini, bakal menjadi begitu obsess dan tertekan kerana keputusan perlawanan melibatkan wang yang ditaruh.

e- Mendorong rakyat memfokuskan kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa skill, namun akhirnya kerugian sahaja yang lebih kerap menjelma. Manakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yag kalah. Bermakna, jika seorang menang dan bergembira atas kemenangannya, yang kalah mungkin 1000 orang yang berduka cita. Dukacita tersebut mungkin tidak berhenti di situ malah berturutan kepada masalah lain, ibarat ‘domino effect'.

f- Kesan buruk kekalahan; kekalahan boleh yang menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergaduhan di dalam rumahtangga, kesan psikologi di tempat kerja menyebabkan kurang produktiviti, mungkin dikejar ‘ALONG' kerana berhutang dengan along untuk berjudi.

g- Pemberian lesen itu seolah menjolok sarang Syaitan, kerana kemungkinan ada indifidu yang tidak begitu terdorong untuk berjudi kerana merasa sukar dek kerana ia merupakan aktiviti gelap dan salah dis isi undang-iundang. Namun akibat lesen tersbeut, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.

NASIHAT

Buat menteri dan pihak berkuasa yang beragama Islam khususnya, sedarilah tegahan Allah :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Justeru itu, saya amat berharap agar Menteri Agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika Menteri Agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami sekalu ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujjah keharusan tersebut JIKA tiba-tiba Menteri Agama atau mana-mana Mufti bersetuju dengan tindakan itu.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh kerana isu perjudian adalah isu ‘Qat'ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak agar tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Paling minima di blog dan website rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif, tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.

Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi'i:-

لا يُنْكَرُ المختلِفُ فيه وإنما يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عليهِ

Ertinya : Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama), namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya)( Al-Asbah wa Al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292 )

Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma' berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan para ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.

Jangan biarkan hanya orang politik berkata, kerana apabila orang politik berhujah dan berkata-kata, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik. Kita perlu mereka yang lain juga agar bersuara, supaya Allah meredhai usaha kita.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

08 Mei 2010


BACA PETIKAN BERITA BERKAITAN

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.


Last update: 09-05-2010 03:25


Klik : Berakhlak Buruk Walau Bertudung??




Saturday, May 29, 2010

BERAKHLAK BURUK WALAU BERTUDUNG ? ? ?

Berakhlak Buruk Walau Bertudung???

SOALAN

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

- Diera -

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

* Aurat wanita apa sudah jadi?

* Wanita, aurat dan Kerjaya

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BERDOSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net.originalarticle:http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=898&Itemid=72


Klik : Doa-doa yang dilaminate untuk Amalan harian Warga SMKTUN


Thursday, May 27, 2010

DOA-DOA YANG DILAMINATE UNTUK AMALAN HARIAN WARGA SMKTUN

Antara usaha Badan Dakwah untuk membudayakan warga SMKTUN mengamalkan doa dalam kehidupan seharian mereka disamping menambahkan dana untuk menampung aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh Badan Dakwah sepanjang tahun 2010. Semoga setiap dari sumbangan warga SMKTUN akan mendapat ganjaran dan keberkatan dari Allah dan sebagai jariah yang berkekalan untuk mereka. InsyaAllah. Amin

KOLEKSI DOA YANG DILAMINATE UNTUK WARGA SMKTUN

DOA MEMOHON CAHAYA
( Ungkapan doa memohon cahaya yang diajarkan oleh Rasulullah SAW terutamanya ketika seseorang berjalan menuju ke masjid )

DOA SUJUD SYUKUR/TILAWAH

DOA ISYRAK

DOA MOHON DILINDUNGI RUMAH DARI DIMASUKI PENCURI
( SURAH AL-ISRA' : 110-111 )

DOA PELEMBUT HATI
( SURAH THAHA : 1-15 )

Sayyidina Umar al-Khattab merupakan seorang yang amat keras hatinya di zaman jahiliyyah. Namun, Allah menjadikan al-Quran sebagai sebab beliau mendapat hidayah dan sebab hatinya tunduk dan lembut menerima Islam. Kisah keIslaman beliau diceritakan oleh Dr Ahmad Umar Hasyim berpunca daripada bacaan al-Quran yang didengarinya dari mulut adiknya Fatimah. Ayat yang didengarinya itu melembutkan hatinya sedangkan pada awalnya beliau ingin membunuh adiknya itu kerana telah memeluk Islam.

Keistimewaan ayat tersebut telah menyebabkan para ulama’ menjadikannya sebagai ayat pelembut hati.[1] Amalkanlah dan perdengarkanlah kepada anak-anak insya Allah mereka akan menjadi anak yang taat yang sukakan kebaikan dan mudah menerima arahan, teguran dan bimbingan. Ayat yang didengari oleh Sayyidina Umar ialah ayat 1 hingga 15 dari surah Taha. Jika ingin beramal dengannya bacalah ayat tersebut selapas istighfar, al-Fatihah dan selawat, kemudian berdoalah mohon keberkatan ayat tersebut agar dilembutkan hati anak-anak.. Tidaklah menjadi kesalahan jika ayat ini dibacakan pada air atau makanan yang dimakan oleh anak-anak dengan bergantung harap kepada Allah yang berkuasa atas segala-galanya.


[1] Dr Ahmad Umar Hasyim, Fi Riyadh al-Sirah al-Nabawiyyah, al-‘Ahd al-Makki, 1994, Nahdah Misr Li al-Tibaah wa al-Nashr, hal. 48-50


( Petikan dari buku 33 PANDUAN AMALAN DAN DOA MEMPEROLEH ANAK SOLEH ANAK CERDAS. Disusun oleh :USTAZ MOHD RIFQI BIN MYIDDIN )


Klik : Iklim Dinie di sekolah kami....



Wednesday, May 26, 2010

IKLIM DINIE DI SEKOLAH KAMI....

Iklim Dinie di sekolah kami... Semoga dapat melahirkan generasi insan yang bertaqwa dan beramal soleh.. Amin..

LAUNGAN AZAN SETIAP KALI MASUK WAKTU SOLAT ZOHOR DAN ASAR

JAM 1.10 TENGAHARI SETIAP HARI
BACAAN DOA SEBELUM BALIK OLEH WAKIL PELAJAR

PROGRAM USRAH MINGGUAN PADA SETIAP HARI JUMAAT

SUJUD AKHIR SOLAT HAJAT YANG AGAK LAMA OLEH SALAH SEORANG PESERTA NASYID SEHINGGA ANAK USTAZAH HANAN HAIRAN MELIHATNYA.
INILAH KEKUATAN ANAK-ANAK KAMI

28 APRIL 2010 - PESERTA NASYID DAN TILAWAH WAKIL MTQ NEGERI SOLAT HAJAT DAN BACAAN HIZBU BAHRI . MOHON AGAR DIPERMUDAHKAN OLEH ALLAH SEGALA URUSAN MEREKA SEPANJANG PERJALANAN PERTANDINGAN

PADA JAM 4.30 PETANG SETIAP HARI
SOLAT ASAR BERJEMAAH BAGI PELAJAR SESI PETANG

PADA JAM 1.10 TENGAHARI SETIAP HARI
SOLAT ZOHOR BERJEMAAH BAGI PELAJAR SESI PETANG

17 MEI 2010 - HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH
DOA PADA SETIAP PERHIMPUNAN RASMI

25 JANUARI 2010 - TEMPOH PERKABUNGAN
DOA PERHIMPUNAN PAGI PADA JAM 7.10 SETIAP HARI

24 NOVEMBER 2009 - PEPERIKSAAN SPM - PENDIDIKAN ISLAM KERTAS 1& 2
DOA SEBELUM MELANGKAH KE DEWAN PEPERIKSAAN

8 JANUARI 2010 - SOLAT HAJAT SEMPENA TAHUN 2010 BERSAMA PELAJAR ISLAM SESI PAGI. SEMOGA ANAK DIDIK KAMI INI LEMBUT HATINYA UNTUK MENDAPAT HIDAYAHMU YA ALLAH. BERIKAN MEREKA KEKUATAN , KETEKUNAN DAN KERAJINAN DALAM MENUNTUT ILMU KERANAMU.

31 DISEMBER 2009 - SOLAT HAJAT SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU 2010 - SOLAT HAJAT, BACAAN YASIN, TAHLIL DAN BACAAN HIZBU BAHRI-MOHON SEMOGA ALLAH PERMUDAHKAN SEGALA URUSAN DAN PEKERJAAN KAMI, DIBERI KEKUATAN DALAM MENDIDIK ANAK BANGSA DAN MENDAPAT KECEMERLANGAN DUNIA DAN AKHIRAT. AMIN












Tuesday, May 25, 2010

APLIKASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN GURU PENDIDIKAN ISLAM SMKTUN

APLIKASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi pendidikan bergantung kepada keupayaan dan kebolehan untuk mengaplikasikannya sesuai dengan objektif pembelajaran. Isu ini memberi satu cabaran yang besar terhadap kadar penerimaan dan persiapan mental serta kompetensi dalam penggunaannya dalam kalangan guru secara amnya. Pada masa yang sama, masih terdapat guru yang ketinggalan dalam perkembangan teknologi maklumat (IT). Akibatnya, mereka tidak dapat mengikuti perkembangan pesat yang berlaku dalam dunia pendidikan terutamanya yang dikaitkan dengan IT. Oleh itu, penggunaan IT dalam bidang pendidikan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pendidikan yang semakin maju dan menuntut kepada kerjasama dan komitmen yang begitu tinggi daripada mereka.


Keistimewaan dan kelebihan aplikasi multimedia berbanding kaedah pengajaran tradisional harus diambil kesempatan oleh guru Pendidikan Islam. Perisian khusus untuk mata pelajaran Pendidikan Islam boleh dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik dengan bantuan multimedia berdasarkan kemampuan, kebolehan dan corak pembelajaran yang pelbagai. Paparan grafik, audio, video, dan animasi dalam multimedia memudahkan pemahaman pelajar.

Penggunaan multimedia sangat berkesan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran kerana:

1. Membantu memotivasikan pelajar untuk belajar secara lebih menyeronokkan .
2. Memastikan pelajar memainkan peranan aktif dalam pembelajaran mereka dengan pelajar boleh belajar mengikut tahap kebolehan sendiri memandangkan mereka boleh mengulangi bahan yang ingin dipelajari beberapa kali sehingga faham.
3. Membolehkan pelajar memperoleh maklumat dengan lebih mudah.
4. Menyediakan peluang belajar secara penemuan dan menjadikan pelajar lebih berdikari.
5. Pelajar belajar secara lebih spontan, lebih natural dan berkesan berdasarkan mod deria yang digemari.
6. Penggabungan pelbagai media di samping latihan yang direka bentuk secara interaktif membolehkan pelajar mengembangkan pengalaman mereka dengan menerokai pembelajaran sendiri dan tidak hanya menunggu untuk memperoleh maklumat secara pasif.

Kesepaduan antara IT dengan kurikulum Pendidikan Islam dapat mendorong pelajar untuk memahami konsep akidah dan syariat Islam yang sebenar supaya beriman dan mentauhidkan Allah S.W.T. Selain daripada menjadi alat untuk mendorong supaya beriman kepada Allah S.W.T, kedua-dua unsur ini mendorong pelajar melakukan amal salih yang layak baginya menerima balasan syurga yang kekal abadi.

Perubahan dalam bidang pengajaran Pendidikan Islam perlu dilakukan bagi memastikan hasrat dan matlamat FPK dapat direalisasikan. Dengan itu, guru Pendidikan Islam haruslah lebih berani mengguna dan mempraktikkan pelbagai kaedah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas agar lebih mendatangkan kesan yang baik dan menarik tumpuan pelajar.

Untuk maklumat lanjut tentang artikel ini, sila layari : http://www.slideshare.net

PORTAL e-pendidikan Islam



( Portal ini telah dihasilkan oleh Ustaz Khairul Anuar Hj Ramlan . Ianya merupakan bahan inovasi yang telah dibentangkan di Persidangan Inovasi Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2009 di Kuala Lumpur mewakili negeri Johor. )



APLIKASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN GURU PENDIDIKAN ISLAM SMKTUN

USTAZAH ZAITI ISMAIL


USTAZAH YASIRAH YAZID


USTAZ MOHD RIFQI MYIDDIN


USTAZAH HABIBAH MUHAMMAD


USTAZAH HANAN HAMZAH

MODUL DAN BUKU LATIHAN PELAJAR