Popular Posts

Monday, December 12, 2011

MELAKUKAN KEBAIKAN ITU MENGHAPUSKAN DOSA..





Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan keburukan, yang demikian itu adalah peringatan bagi orang orang yang ingat.
 [Hud. 114]

Ibnu Kathir berkata: "Sesungguhnya melakukan kebaikan itu menghapuskan dosa dosa silam".
 [Tafsir Ibnu Kathir 11/462]

Sebuah hadis daripada Abu Zhar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: 
"Dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan kerana kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan".
(H.R Ahmad dan Tarmizi, diriwayatkan juga oleh Hakim dan Tabrani dalam Al mu'jam As Saghir).

Dan kebaikan yang dapat menghapuskan keburukan ini dapatlah dikategorikan pada tiga bahagian:
1. Kewajiban dan sunnah.
2. Zikir zikir
3. Berbuat baik kepada makhluk khususnya makhluk hidup.


1. Kewajiban dan sunnah.

Adapun tentang kewajiban sebagai penghapus dosa maka sesungguhnya semua kewajiban itu menghapus dosa, khususnya tauhid yang merupakan penghapus terbesar terhadap dosa seperti disebut didalam firmanNya yang bermaksud: 
"Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan jika Dia disekutukan dan Dia mengampunkan barang yang selain itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. 
[An Nisa' 48]

Dalam hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis dari Muaz r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Apakah kamu mengerti, apakah hak manusia atas Allah jika mereka melakukan itu? Mereka menjawab: Allah dan rasulnya yang lebih mengetahui. Nabi sallallahu a'laihi wasallam bersabda: Hak manusia keatas Allah adalah Dia tidak menyeksa orang orang yang tidak menyekutukanNya dengan apa apapun. 
[H.R Bukahri dan Muslim]

Begitu juga dengan hal hal kewajiban dan sunnah yang lain seperti solat, puasa, wudhu' azan dan lain lain lagi. Pada semuanya itu terdapat penghapusan dosa.


2. Zikir zikir.(mengingati Allah s.w.t)

Mengingati Allah s.w.t adalah salah satu jalan terhapusnya kesalahan dan bersihnya hati dari dosa. Bagaimana tidak, banyak ayat yang menjelaskan bahawa Allah s.w.t memerintahkan kita untuk banyak berzikir.

Diantaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud: 
"Wahai orang orang yang beriman, ingatlah pada Allah dengan ingatan sebanyak banyaknya".
 [Al Ahzab 41]

Sesungguhnya Allah s.w.t tidak memerintahkan berbanyak zikir padaNya melainkan kerana zikir itu salah satu jalan diangkatkan darjat manusia. Zikir yang paling utama adalah membaca la ilaha illallaah dan membaca Al Quran.

Tidak dinafikan lagi bahawa zikirullah itu merupakan jalan penghapus dosa dan menghilangkan titik hitam pada hati.


3. Berbuat baik kepada makhluk khususnya makhluk hidup.

Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t mewajibkan manusia untuk berbuat baik pada segala sesuatu dan Allah mencintai orang orang yang berbuat baik.

Maka perbuatan yang demikian ini adalah sebagai salah satu sebab terampunnya dosa dosa seperti tersebut didalam sabuah hadis yang bermaksud: 
"Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Ketika seorang lelaki dalam perjalanan, dia merasa sangat haus, maka ketika dia mendapatkan telaga, dia turun dan minum darinya. Kemudia ketika dia keluar tiba tiba ada seekor anjing yang menjulurkan lidahnya dan memakan debu kerana kehausan, maka berkata lelaki itu, sesungguhnya anjing ini merasa haus seperti yang telah aku rasakan, lalu dia turun ke telaga dan mengisi penuh dengan air kedalam kasut butnya, kemudian dia naik dan memberi minum kepada anjing itu. Lalu Allah memuji sikapnya dan Allah s.w.t mengampuni dosanya".
 [H.R Bukhari]

Dalam hadis ini menerangkan bahawa berbuat baik terhadap sesama makhluk adalah menjadi penyebab terhapusnya dosa. diantara kebaikan itu adalah memberi minum anjing yang kehausan. Dosa juga dapat terhapus dengan berjabat tangan atau bersalaman yang mubah, dan menjauhkan dendam seperti tersebut pada hadis.

Wallahu a’lam...


Jika ingin tahu akhlak sebenar seseorang, 
lihatlah dia sewaktu dia sangat marah; 
Jika ingin melihat kehebatan akhlaknya 
lihatlah dia sewaktu berurusan dengan 
orang yang mencerca & membencinya
Jika ingin lihat keadilan mindanya 
dan kebaikan pola pemikirannya,
lihatlah cara dia berbincang dengan
 pandangan berbeza dengannya.
( Ustaz Dr. Zaharuddin )


No comments:

Post a Comment