Popular Posts

Thursday, July 1, 2010

INFO GERHANA... SAMA-SAMA BERKONGSI...

BAGAIMANA GERHANA MATAHARI DAN BULAN BERLAKU


GERHANA MATAHARI


GERHANA BULAN



BAGAIMANA GERHANA MATAHARI
DAN BULAN BERLAKU ????


Allah Subhanahu Wata’ala telah menciptakan langit dan bumi ini dengan penuh keindahan dan kehebatan. Di bumi, Allah ciptakan kita manusia disamping mahluk lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, lautan, sungai dan sebagainya.

Manakala di langit, Allah ciptakan matahari, bulan dan bintang yang menghiasi panorama yang indah serta bermanfaat kepada hamba-hambanya, bukan setakat menciptakan sahaja, tetapi Allah Subhanahu Wata’ala telah mentadbir alam semasta ini dengan kudrat dan iradatnya, sehinggalah tidak ada sebab boleh berlakunya perlanggaran antara satu sama lain, jika sekiranya berlaku pertembungan, maka ini akan mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Yaasin ayat 40:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang dan masing-masing beredar pada garisan inderanya”


Menurut ahli astronomi, kejadian gerhana berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, ini dinamakan sebagai gerhana matahari. Manakala jika berlaku kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan, maka dinamakan gerhana bulan. Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari sampai ke bumi dan dinamakan gerhana kerana sebagaimana yang kita maklum bahawa bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya dari matahari.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Yunus ayat 5:

“Dialah yang menjadikan matahari terang-benderang dan bulan bercahaya, serta dialah yang menetapkan manzila (paksi-paksi peredaran masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak * (adanya faedah yang sebenar). Allah menjelaskan ayat-ayatnya (tanda-tanda kebesarannya) satu-persatu bagi orang yang mahu mengetahuinya.”

*Maksudnya: Allah menjadikan semua yang di sebutkan itu bukanlah dengan percuma, melainkan dengan penuh hikmah.

Dalam ayat ini, Allah Subhanahu Wata’ala menerangkan bahawa matahari bersinar, sedangkan cahaya bulan yang menerangi bumi adalah merupakan pantulan dari sinar matahari.


SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI / BULAN


Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.



Hukum Solat Gerhana Matahari / Bulan

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.


Cara Solat Sunat Gerhana / Bulan


Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah )

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :


1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Ta`awudz.
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca mana-mana surah, yang terlebih afdhal surah al-Baqarah.
6. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
7. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau mana-mana surah.
8. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
9. Iktidal.
10. Sujud dan membaca tasbih.
11. Duduk antara 2 sujud.
12. Sujud kembali.
13. Berdiri ke rakaat kedua.


b. Rakaat kedua.

1. Membaca surah al-Fatihah
2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.
4. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah
5. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
6. Iktidal.
7. Sujud dan membaca tasbih.
8. Duduk antara 2 sujud.
9. Sujud kembali.
10. Membaca tasyahud akhir.
11. Memberi salam.


Kejadian gerhana tiada kaitan dengan sial

Kejadian gerhana tiada kaitan dengan apa-apa perkara malang, sial dan sebagainya, ia merupakan fenomena yang telah berlaku sejak dahulu kala termasuklah juga berlaku di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kebetulan ketika itu, wafatnya putera baginda bernama Ibrahim yang berumur 16 bulan pada tahun 10 hijrah iaitu sebelum berlakunya haji wada’. Maka ramai yang menyangka bahawa gerhana itu telah membawa maksud kesedihan di hati Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam oleh kerana itu maka bersegeralah baginda bersabda:

“Sesungguhnya matahari dan bumi adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari dan bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupanya. Maka jikalau kamu melihatnya berdoalah kepada Allah,bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”.


Peringatan Kepada Manusia


Sebenarnya, kejadian gerhana juga adalah satu peringatan kepada manusia, bahawa jika Allah Subhanahu Wata’ala berkehendak menghentikan peredaran matahari, bulan, bintang, bumi dan lain-lainnya, sudah pastilah seluruh kehidupan ini akan musnah. Ia juga adalah peringatan kepada manusia, bahawa Allah Subhanahu Wata’ala boleh menghancurkan alam semesta ini dengan begitu mudah sahaja. Dengan gelincirnya peredaran matahari atau bulan dari paksinya, maka alam semasta akan hancur dan musnah.

Maka adalah kita benar-benar bersedia untuk menghadapinya?. Apakah persediaan yang telah kita lakukan?. Berapa banyak kebajikan yang telah kita buat?. Adalah seluruh syariat Allah telah benar-benar kita junjung?. Adakah kita telah yakin boleh benar-benar selamat pada hari yang tiada manfaat lagi harta dan anak-pinak?.



“Daripada Aisyah Radhiallahu ‘Anhu ia berkata: sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka apabila kamu melihat gerhana itu, hendaklah kamu berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala serta berzikir, bersolat dan bersedekah."


Klik : Kami Sehati sejiwa Seiring Bersama

No comments:

Post a Comment