Popular Posts

Thursday, July 15, 2010

PUNCA - PUNCA KESEDIHAN





TAZKIRAH SYAABAN 4



" Ya Allah , berkatilah kami pada
bulan Rejab dan Syaaban
dan sampaikanlah kami
ke bulan Ramadhan.. "
( Riwayat Ahmad dan at-Tabrani , daripada Anas )








P U N C A - P U N C A


K E S E D I H A N











PUNCA-PUNCA kesedihan




Jika ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu adalah ‘hati’.



Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia.



Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri.







Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya?



Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu.



Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;





1. Suka membuang masa.





Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh membunuh.



Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu;


1. Untuk Allah SWT.


2. Untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya.


3. Untuk keluarga dan umatnya.







Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran.



Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan.



Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.







Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini :

1. Jalan baik atau yang buruk.


2. Kawan yang jahil atau soleh.


3. Situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya.






Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan.



Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.






2. Kesedihan juga berpunca

daripada sifat dengki dan mengikut nafsu.







Ada orang berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya.







Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.







Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah anda.







Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini?




Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang.







Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung?



Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita.



Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta?



Tentu ia lebih berharga daripada wang.



Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.





3. Kesedihan kerana melupakan Allah.





Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah?



Dalam surah Al-Hasyr ayat 19 Allah SWT berfirman yang maksudnya:


“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.”






Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat.







Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut;


· Hari dilalui tanpa ibadat


· Lupa berzikir


· Mengabaikan sembahyang.


· Tidak membaca ayat al-Quran.


· Menjauhi ilmu.


· Meninggalkan amal soleh.






Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat.



Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.







Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud:


“Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(Surah Al-A’raf: 179).







Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan.



Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati.



Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.









Tanda-tanda Bahagia



1. Menjauhkan diri daripada urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat


2. Himmahnya(kemahuan) kuat terhadap ibadah dan membaca al-quran


3. Sedikit kata terhadap apa yang tidak diperlukan


4. Sangat memelihara sembahyang fardhu yang lima


5. Menjaga diri daripada yang haram dan syubhat,sedikit mahu pun banyak


6. Bersahabat dengan golongan yang soleh dan baik


7. Bersifat merendah diri


8. Bersifat dermawan yang ikhlas


9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk allah yang lain


10. Bermanfaat kepada orang lain


11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya




Tanda-tanda Sengsara



1. Rakus terhadap harta dunia



2. Kemahuan kuat terhadap nafsu syahwat dan kelazatan dunia



3. Kotor dalam perkataannya serta banyak ghibah ( menceritakan cela orang lain )



4. Meringan-ringankan sembahyang fardhu yang lima



5. Berkawan dengan golongan yang fasik(derhaka)



6. Buruk perangainya



7. Sombong lagi membangga diri



8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain



9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman



10. Bersifat kedekut



11. Lupa terhadap mati





"Ya Allah......

Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti yang benar itu......

Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar dan permudahkan kami meninggalkannya....... "




No comments:

Post a Comment