Popular Posts

Sunday, July 11, 2010

28 REJAB 1431H - SEKITAR PERISTIWA ISRA' MIKRAJ RASULULLAH - TUNTUTAN MENUTUP AURAT



"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

(Surah Al-Israa': Ayat 1)




TAZKIRAH 28 REJAB 1431H

SEKITAR PERISTIWA ISRA' MIKRAJ RASULULLAH


TUNTUTAN MENUTUP AURAT





Maka sabda Rasulullah SAW.;

"Bahawa sesungguhnya telah aku lihat pada malam mikraj, beberapa perempuan daripada umatku di dalam siksa yang amat sangat. Maka sangatlah salah pekerjaan mereka itu., kerana itulah yang menyebabkan aku menangis kerana keadaan mereka yang tersangat siksa".



Maka sabda Rasulullah SAW.;

..........dan Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; .......... maksud hadis selanjutnya


Maka sabda Nabi SAW.;

Ada pun perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; maka bahawa sesungguhnya ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang haram memandang dia,............. maksud hadis selanjutnya.......






PENGERTIAN AURAT


Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fekah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Di dalam Islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang tertentu.


SILA PERHATIKAN BENTUK KESALAHAN YANG TELAH DIBUAT


PERINTAH MENUTUP AURAT


Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 33;

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembayang serta berikanlah zakat; dan taatilah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu-wahai "ahlul bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)."


Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang, berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.


Dengan menutup aurat, wanita Islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.


Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali. Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang, dengan itu juga akan timbulah berbagai-bagai firnah dari masyarakat tentang diri mereka.


Dalam hal ini Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59:

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."


Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita. Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.



PERINGATAN :

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut.


Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya:


1. Aurat Ketika Sembahyang

Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.


2. Aurat Ketika Sendirian

Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat adalah antaran pusat dan lutut.


3. Aurat Ketika Bersama Mahram

Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah pusat dan lutut. Walau pun bagitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yan boleh menaikan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.


Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tata susila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang dan tidak diingini tidak akan berlaku.


Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.


Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai MAHRAM kepada seseorang wanita iaitu:

Suami

Ayah, termasuk datuk belah ibu dan bapa.

Ayah mertua

Anak-anak lelaki termasuk cucu samada dari anak lelaki atau perempuan

Anak-anak suami.


Dalam perkara ini Islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.

Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa.

Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya.

Anak saudara dari saudara perempuan.

Sesama wanita samada ada kaitan keturunan atau yang seagama.

Hambanya Sahaya.

Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat.

Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.



Al-Quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31;


"Dan katakanlah kepada perempuan - perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dada mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tiadk berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."


Iman Syafie berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan yang dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua makna iaitu:


Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka , pipi mulut, mata bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.


Perhiasan seperti pakaian,alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.


Oleh itu , umat Islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.


4. Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram


Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya.


Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.


Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.


Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbaza-beza.


5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir


Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul edngan wanita bukan Islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.


Rasulullah S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang maksudnya: "Tidak halal kauum wanita Islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".


6. Aurat ketika Bersama Suami


Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka Isla m telah memberi kelongaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.


Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannnya bila berhadapan dengan suaminya.


Mu'awiyah bin Haidah mengatakan: "Aku pernah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab: "Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?" Baginda menjawab: "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain dan ia pun tidak boleh melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: "Ya Rasullullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab: "Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain".

(Hadis riwayat Iman Ahmad dan Abu Dawud)


ETIKA MENUTUP AURAT


1.Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya.


2.Tidak menyerupai dengan kaum yang engkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya.


3. Pakaian yang dipakai mestilah menutup susuk tubuh badan. Iaitu pakaian yang longgar dengan kesesuaian tubuh badan. Pakaian yang ketat atau sendat, tetap haram sekalipun pada zahir ia telah menutup aurat. Ia adalah kerana susuk tubuh badan merupakan aurat yang perlu dijaga.


4. Pakaian yang tidak bercorak atau berwarna-warni, yang ada daya penggamit pandangan.


HUKUM MENUTUP AURAT


Haram bagi seseorang melihat kepada aurat orang lain sekalipun sesama jenis, seperti melihat seorang lelaki kepada aurat seorang lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Lebih berat lagi jika memandang kepada aurat yang berlainan jenis seperti seorang lelaki melihat kepada aurat perempuan dan sebaliknya. Apatah lagi melihat kepada artis perempuan masa kini.


Dimaafkan jika terlihat sekilas pandangan sahaja, tanpa memakukan pandangan ke tempat haram tersebut atau mengikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua.


Namun jika melihat kepada aurat sendiri ia dimakruhkan, samada seorang lelaki ataupun perempuan. Makruh juga membuka aurat di tempat yang sunyi dari pandangan manusia seperti di dalam bilik secara bersendirian.


Jika terpaksa, seperti perubatan, harus bagi seorang ahli perubatan sesama jenis dengan pesakit melihat kepada aurat pesakit tersebut, tanpa ada mahram yang menemani. Seperti ahli perubatan perempuan melihat kepada aurat pesakit perempuan dan sebaliknya.


Jika ahli perubatan berlainan jenis dengan pesakit, seperti ahli perubatan lelaki dan pesakit perempuan, diwajibkan ada bersama mahram yang menemani dan dengan syarat tiadanya ahli perubatan perempuan di sana. Ketika ini, haruslah melihat kepada aurat pesakit tersebut.


Telah menjadi kewajipan kita semua untuk menegah segala kemungkaran mengikut kemampuan kita masing-masing. Dan kewajipan ke atas kita juga untuk bersama-sama membendung gejala negatif tersebut dari tersebar lebih meluas tanpa batasannya.







Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang beriman dan orang-orang yang tahu malu. SESUNGGUHNYA AZAB ALLAH ITU TERLALU PEDIH YANG TIADA PERINYA...


No comments:

Post a Comment