Popular Posts

Saturday, August 13, 2011

WAHAI DAIE... JANGAN KAMU LEMAH!!





Allah... Ujian-Mu silih berganti. Semakin aku menapak di jalan ini, semakin aku diuji. Benarlah jalan ini bukan mudah dilalui. Memang adakalanya aku seakan penat tetapi aku tahu, tidak sepatutnya aku bersikap lemah apalagi menyerah. Maka di saat ini, aku nukilkan sedikit hikmah buat pemangkin diri juga sebagai tatapan mereka yang ingin sama-sama menguatkan diri..



Wahai daie... Janganlah kamu berasa lemah. Tatkala dilambung ombak cabaran. Sedarlah, itu adalah tarbiyah Allah buatmu. Memang, sesekali diuji itu perit, pedih dan menyakitkan. Membuat air matamu gugur satu persatu. Tetapi itu bukan sebab untuk menyerah.



Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala mata-mata manusia melihatmu pelik, jelik malah merendah-rendahkanmu. Bersabarlah... Ingat kembali sabda rasul S.A.W mafhumnya :



Islam itu datangnya dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. Beruntunglah mereka yang menggenggamnya ketika ia kembali dagang. [H.R Muslim]



Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala hati-hati yang ingin kau ajak ke arah kebaikan menolak ajakanmu. Ingatlah... Hidayah itu milik Allah. Dia akan memberi kepada siapa yang dikehendaki yakni hamba-hamba yang terpilih, yang berusaha mencari cahaya-Nya. Jangan lekas kecewa dan putus asa. Tugasmu hanya menyeru dan tiap usahamu ada nilainya di sisi Pencipta (sekiranya hati ikhlas kerana-Nya).



Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala kau mewakafkan diri untuk agama ini dan memilih untuk hidup di jalan Allah, maka kau harus bersedia untuk mengharungi liku-likunya. Kau harus tahu jalannya itu licin, curam dan berduri. Terluka itu biasa dan kau harus terima.



Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Meskipun dalam hati terasa berat saat melalui jalan ini. Sukar dan melelahkan. Banyak yang perlu kau korbankan (terutamanya keinginan hawa nafsu). Namun, harus kau tahu dan yakin bahawa ada bahagia di sana. Bahagia yang tidak bisa dirasai oleh mereka yang ingin hidup biasa-biasa saja. Ada keindahan yang tidak mungkin ditemukan jika memilih untuk hidup untuk dunia semata-mata. Kebahagian dan keindahan itu bisa diraih bila hatimu kau dekatkan dengan Pencipta. Keperitan, kesakitan dan kelelahan seolah-olah 'terbius' oleh kecintaan kepada-Nya.



Wahai daie... Andai kau berasa lemah itu bukan salahmu kerana kau hanyalah manusia biasa. Kerana itu Allah S.W.T telah memotivasikan kita, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:



Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. [Ali-Imran 3:139]



Ingatlah, di penghujung hayat kita akan kembali kepada-Nya dan jalan ini satu-satunya jalan selamat untuk bertemu dengan-Nya..



Sesekali terjatuh itu biasa. Tetapi jangan jatuh hingga tak bangun-bangun, itu parah. Hakikatnya nasihat ini untukku. Aku tidak ingin selamanya berasa lemah. Aku harus bangkit dan bersemangat sentiasa. Sungguh, motivasi yang paling penting bermula dari dalam diri.



Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. [Al-Baqarah 2:207]



Kuatlah wahai sahabat-sahabatku... 

Semoga kebersatuan hati-hati kita seiring 

saling bergandingan di jalanNYA 

mencari redha dan rahmat Allah yang tidak bertepi ini 

diganjariNYA dengan firdaus yang kekal abadi penuh kenikmatan...


Semoga kasih cinta kita kerana Allah ini

ditautkan erat didunia ini 

berkekalan hingga syurgaNYA di akhirat sana...


Itu doa saya yang tiada putus-putusnya....


SEMOGA KITA KUAT MENGHADAPI 

MEREKA YANG TIDAK SUKAKAN ISLAM BERKEMBANG!



" Ya Allah... Bersihkanlah diriku daripada kehinaan...


Berilah kesabaran kepadaku untuk menerima segala ketentuan...


Berilah kemampuan kepadaku untuk bertaqwa


dan bergaul dengan orang-orang yang baik dengan bantuanMU... "


8 JANUARI 2011 : SOLAT HAJAT SEMPENA TAHUN BARU 2011

29 APRIL 2011 : SOLAT HAJAT SEMPENA PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

30 JUN 2011 : SOLAT HAJAT SEMPENA PERSARAAN BONDA PENGETUA

17 JULAI 2011 : SOLAT HAJAT KETIKA 
PROGRAM IFTAR NISFU SYAABAN DAN BACAAN SURAH KAHFI

8 OGOS 2011 : SOLAT HAJAT SEMPENA PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR

KLIK : 12 OGOS 2011 - CERAMAH KHAS NUZUL QURAN

No comments:

Post a Comment