Dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri atau suami pasti ada kesepian dan kelelahan. Tugas rutin yang dijalankan hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan sehinggalah bertahun-tahun adakalanya menimbulkan kejemuan dan kesepian.
Putaran kehidupan, pasti meletihkan. Ditambah pula kadangkala oleh sikap pasangan yang tidak memahami jiwa dan perasaan. Ketika itu segalanya hambar dan tawar.
Jika itu yang sedang terjadi pada diri kita kini, jangan dibiarkan berlarutan. Bertindaklah untuk mengubah keadaan bermula dengan mengubah jiwa, pemikiran dan perasaan sendiri. Kita tidak mampu mengubah apa yang di luar diri tetapi kita boleh mengubah diri.
Pertama, perlu kuatkan jiwa. Bagaimana? Apalagi kalau bukan dengan solat dan zikir. Siti Fatimah yang mengadu keletihan dalam menguruskan rumahtangga, mendapat kekuatan dengan berzikir subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar yang diberikan oleh ayahandanya Rasulullah saw. Pemikiran Siti Fatimah dilapangkan dengan didikan untuk mencintai akhirat melebihi dunia. Lalu dengan 'tauhidic mindset' itulah terasa olehnya betapa kecilnya penderitaan dunia berbanding penderitaan akhirat.
Justeru, dia rela menerima kesusahan dunia yang sedikit dan sementara demi mengenangkan nikmat akhirat yang lebih baik dan selama-lamanya. Emosinya jadi tenteram ketika kesepian, oleh rasa hatinya yang sentiasa merasai ada Allah yang sentiasa memerhatikannya. Begitulah perasaan orang yang hampir dengan Allah. Imam Ghazali pernah menulikan, "ketika kau kesepian jangan kau katakan aku sunyi... tetapi katakan pada diri, di sisiku sentiasa ada Pemerhati!"
Dunia ini tidak lepas daripada rasa jemu, sunyi dan lesu. Nikmat yang diburu, akan rasa jemu apabila sudah dalam genggaman. Manis, seronok dan indah hanya sementara. Tidak kira yang nikmat yang bernama anak, suami atau isteri.
Tanpa cinta yang mendalam dan menyala-nyala kepada Allah, segala bentuk cinta yang lain (cinta mahkluk) akan beransur malap dan gelap. Begitulah fitrah hati. Cinta Allah itu tapak segala cinta yang lain. Bila cinta Allah goyah, cinta yang lain akan turut rebah. Tanpa kembali kepada cinta Allah, kita akan menjadi pemburu cinta yang dungu dan lesu. Cinta yang di depan mata dipersia, cinta fatamorgana yang tidak nyata diburu bagai nak gila.
Akibat jemu, sepi dan lesu, ada yang mula bertindak membuka lembaran cinta yang baru. Mereka ketagih untuk merasai semula keharuman dan kehangatan cinta yang pernah dialami masa muda-muda dahulu. Orang lama ini bermimpi untuk menjadi orang baru yang hidup penuh keceriaan, bertenaga dan bermotivasi dengan menjana cinta yang baru.
Lalu wujudlah apa yang dinamakan 'teman tapi mesra'. Suami orang dan isteri orang berhubung dengan mesra. Ini hakikatnya satu lagi 'produk' hubungan mungkar tajaan syaitan untuk menipu manusia.
Kononnya, keduanya tetap menjaga perkahwinan masing-masing, tetapi mereka akan bersahabat dengan bertemu, bermesra, berbual dan saling meluah rasa tanpa pengetahuan pasangan mereka. Teman tapi mesra ini hakikatnya adalah perbuatan yang telah menghampiri zina. Istilah itu hanya dicipta untuk mengurangkan rasa berdosa kerana bermesra dengan isteri atau suami orang.
Tepuk dada, tanya rasa hati kita yang paling dalam, sukakah kita jika isteri meluahkan rasa hatinya kepada orang lain? Bagaimana rasa si isteri, apabila diketahuinya ada perempuan lain yang dimesrai dan diambil berat persaannya oleh suaminya sendiri? Tentu ada hati yang terluka. Pasti ada rasa yang tidak rela. Sedangkan segala rahsia harus dikongsi bersama. Mengapa dia perlukan 'teman tapi mesra'? Apakah kerana aku sudah jadi 'suami tapi tidak mesra' atau 'isteri tanpa cinta?"
Anehnya, isteri atau suami yang lupa diri ini begitu bersopan, lemah lembut, bergaya dan menjaga penampilan diri di hadapan teman mesranya. Kata-katanya sungguh sopan, tingkah lakunya sungguh baik. Bila bersama temannya dialah lelaki paling romnatis atau wanita yang paling beradab. Padahal dengan suami atau isteri di rumah, tutur katanya kasar, sapanya selamba dan tingkah lakunya serba pasif dan air mukanya yang masam dan bungkam.
Sungguh pelik, dia telah menzalimi dirinya sendiri dengan memberi hak kepada yang tidak berhak manakala merampas hak daripada yang berhak. Hak suami atau isteri telah dirampas lalu diberikan kepada teman tapi mesranya itu!
Itu kisah suami atau isteri yang berkerja di luar, samada di pejabat kerajaan atau di badan-badan swasta. Mereka punya alasan, ruang dan peluang untuk selingkuh di luar. Bagaimana pula dengan isteri yang berada di rumah? Ya, dalam dunia tanpa sempadan dan era ICT ini segalanya berada di hujung jari. Dosa dan pahala boleh diraih melalui satu 'clik' sahaja pada papan kekunci atau tetikus komputer. Celik IT tetapi buta hati telah menyebabkan lebuh raya siber menjadi medan menjana cinta kayu tiga yang penuh dosa dan laga' (sia-sia) ini.
Kaldai cinta. Itulah gelaran yang layak diberikan kepada seorang yang bercinta secara membabi-buta. Tanpa tujuan yang jelas dan pengenalan yang tepat, kaldai cinta ini memberi cinta sepenuh dan seluruhnya. Dan akibatnya, segala miliknya tergadai. Maruah, akhlak dan semua orang yang menyayanginya rela dikorban. Bayangkan, berkenalan dan bercinta hanya melalui laman sosial dalam internet, samada lewat facebook, twiter atau YM, namun akhirnya menumbuhkan bibit cinta di alam maya dan komitmen yang nyata dalam alam realiti.
Bayangkan bagaimana teganya seorang isteri yang sudah punya beberapa orang anak dan seorang suami rela mengabaikan tanggung jawabnya kerana cintanya yang mendalam kepada seorang lelaki seberang laut yang kononnya sangat memahami, prihatin dan menyayanginya sepenuh hati. Manakala seorang gadis pula rela meninggalkan ibu-bapa yang menyayanginya kerana mengikut kata kekasih hatinya yang bermata biru atau yang berkulit hitam. Atau ada pula suami yang sanggup berjaga malam, berteleku di hadapan komputer riba hanya untuk berbual-bual dengan 'kekasih' maya.
Mula-mulanya hanya berkenalan, kemudian berbual-bual dan akhirnya mula meluahkan masalah hidup masing-masing. Anda mungkin tidak percaya tetapi kenyataanya perkara yang seumpama ini memang sering berlaku. Alasan 'kaldai cinta' ini ringkas dan mudah sahaja –"saya kesepian, "suami tidak pandai melayan perasaan", "isteri tidak pandai berhias." Begitulah yang kerap kita dengar. Hairan juga, mereka ini bukan baru sehari dua duduk sebumbung, sudah bertahaun-tahun, sudah beranak pinak, tetapi seolah-olah baru saat itu ternampak segala keaiban dan kecacatan pasangan.
Ironinya, pada diri kekasih mayanya semua nampak sempurna. Hanya kerana dibelai dengan kata-kata indah, dihadiahkan gambar sejambak bunga, diberikan potret gambar (yang tidak dapat dipastikan adakah itu gambar sebenarnya), si isteri yang kesepian itupun cair. Lalu berbalas-balaslah kata cinta dan ayat-ayat ' I love you", "I trust you" dan sebagainya. Waktu dinihari yang sepatutnya si isteri bangun solat tahajud mendoakan anak-anak dan suami telah digunakan secara curi-curi untuk berbual dengan kekasih hati.
Orang di sebelah sana, penuh rencana licik dan strategik. Perlahan-lahan, tahap demi tahap dia menjanjikan habuan. Bermula dengan hadiah, ingin datang melawat, ada wang hadiah yang akan dimasukkan dalam akaun bank kekasih, sehinggalah jemputan datang ke negaranya untuk memulakan hidup baru atau sekadar bercuti dalam jangkamasa tertentu. Mendengar segala janji manis itu apalagi, kaldai cinta inipun melonjak kegembiraan, tidak sedar perangkap sedang menganga untuk menelannya.
Sungguh tragis, apabila kaldai cinta itu akhirnya bertukar menjadi kaldai dadah. Mereka ditipu oleh kekasih mayanya untuk membawa dadah sama masuk ke dalam negara atau keluar negara. Daripada kesepian di rumah sendiri akhirnya mereka menjadi lebih kesepian apabila menjadi penghuni penjara. Ada pula yang maruahnya tergadai, bila mereka dinodai dan gambar-gambar yang mengaibkan itu akhirnya dijadikan bahan ugutan untuk mereka menurut kehendak sendikit dadah bertaraf antarabangsa ini. Cinta yang didamba tidak ditemui, kecelakaan dan bahana baru pula yang dtang menimpa.
Jangan menyelesaikan masalah dengan satu masalah. Kesepian, kelesuan dan kejemuan tidak akan dapat diatasi oleh perbuatan dosa dan amalan yang mungkar. Sebaliknya penuhi masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Jika kita beriman dan memegang teguh Islam, kita akan merasai bahawa tugasan dan tanggungjawab sentiasa melebihi masa yang ada. Begitu yang pernah ditegaskan oleh tokoh tersohor Hasan Al Banna. Jadi, mukmin yang hakiki sentiasa sibuk dan dapat mengatasi dua 'musuh' yang sering menyebabkan manusia alpa yakni kesihatan dan kelapangan masa.
Sepatutnya, masa yang terluang digunakan untuk bermacam-macam kegiatan yang bermanfaat. Ramai isteri yang meluangkan masa untuk mempelajari serta mendalami lagi kefasihan membaca Al Quran. Ada yang guat dengan aktiviti-aktiviti pengajian. Manakala sebahagiannya pula sibuk dengan program-program kebajikan. Isteri yang solehah dan suami yang soleh soleh sedang sibuk menyediakan bekalan untuk menempuh jalan pulang, tapi dia pula sibuk mengumpul beban dosa seolah-olah tidak mahu pulang!
Alangkah sia-sianya hidup jika masa banyak dibazirkan melayani dan melayari laman sosial secara marathon ditambah pula aktiviti mungkar memadu cinta dengan lelaki bukan mahram? Alangkah bodohnya isteri atau suami yang bangun di tengah malam, mencuri-curi berbual dengan kekasih mayanya sedangkan ada isteri solehah dan suami yang soleh sedang bermunajat kepada Allah memohon keselamatan seluruh ahli keluarganya dari malapetaka dunia dan akhirat?
Sah, dialah kaldai cinta yang tertipu, bercinta tanpa guna akal yang waras, hati yang bersih dan perasaan yang stabil. Di mana wajah kita hendak dihadapkan di hadapan Allah di akhirat nanti ketika kita menderhakai suami dan menentang Allah serta RasulNya hanya kerana cinta murahan, khayalan dan tidak berpijak di bumi nyata?
Kemanisan beragama hanya akan dinikmati oleh mereka yang menegakkannya dalam kehidupan. Menegakkan hukum Allah di dalam rumah tangga akan memberikan ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Manakala melanggarnya akan mendatangkan kesusahan, penderitaan dan kekacauan jiwa. Teman tapi mesra dan memiliki kekasih maya adalah dua penyakit jiwa yang sedang melanda rumah tangga umat Islam kini.
Puncanya? Mudah sahaja. jiwa kosong, tujuan hidup tidak jelas. Bagi mereka semua tidak kena. Suami pendiam dikatakan tidak romantik. Isteri peramah dikatakan penyebok. Bukan silap apa yang dipandang tetapi silapnya pada hati yang serong lalu pandangan jadi melencong. Benarlah kata bijak pandai, tidak ada angin yang menyebelahi mana-mana kapal yang tidak ada pelabuhan untuk dituju. Maka begitulah nasib kaldai cinta ini, hidupnya serba tidak kena, serba keliru dan celaru kerana tidak ada pelabuhan cinta sejati dan hakiki untuk dituju!
- Artikel iluvislam.com
Biodata Kolumnis
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalahwww.genta-rasa.com.
KLIK : TAKZIAH DAN AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM NORAMFAIZUL MOHD NOR
KLIK : TAKZIAH DAN AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM NORAMFAIZUL MOHD NOR
No comments:
Post a Comment