Popular Posts

Friday, March 23, 2012

RENDAH DIRI ATAU DIRENDAHKAN???



Rendah Diri Atau Direndahkan?

“Jangan pernah merendahkan dirimu, sekalipun orang-orang merendahkanmu.”

Jalan kehidupan yang kadangkala sukar, kadangkala senang, kadangkala lancar kadangkala terbantut. Ia memerlukan kesabaran sehingga sampai suatu tahap, kita tidak dapat lagi bersabar. Rendah diri tidak sama dengan rendah hati, tidak sama juga dengan direndahkan darjat atau harga diri ini.

Rendah diri membuat seseorang terasa kecil dan tidak memiliki keyakinan pada dirinya sendiri. Membuat segalanya rosak kerana tidak berani tampil ke depan. Hasilnya, terdapatlah orang yang selalu bersembunyi disebalik orang lain dan takut menampilkan dirinya. Orang seperti ini bukan bererti dia tidak memiliki kemampuan, kerana harus diingat, banyak diantara orang yang rendah diri memiliki bakat yang terpendam, hanya saja tiada kesempatan untuk ditampilkan.

Kerendahan hati pula, adalah sangat penting dan memerlukan kebijaksanaan untuk menjadi orang yang rendah hati, tidak sombong mudah disokong dan bersahabat dengan sesiapa sahaja, ramah dan bersikap terbuka kepada sesiapa pun yang datang kepadanya.

Rendah hati tidak bererti rendahnya darjat kita. Sebaliknya orang-orang yang mulia kebanyakan memiliki sifat rendah hati. Semakin tinggi kedudukannya semakin besar jiwanya, dan semakin tidak sombong.

Apabila harga diri kita direndahkan dan dipijak – pijak, sebaik – sebaiknya kita hendaklah berfikir dengan positif. Memang kita memiliki harga diri, tetapi berapakah harganya? Ternyata tiada ukuran untuk menilai harga diri seseorang. Harga diri sebenarnya hanya ego saja.

Keegoan adalah sifat pada seseorang yang merasakan perlu dihargai, merasa perlu ditinggikan dan dihormati. Tetapi, sehingga manakah keegoan kita itu boleh pergi?

Keegoaan adalah bersifat ke”AKU”an. Apabila seseorang itu mampu menakluki si ‘EGO’ atau si ‘AKU’ itu, barulah dikatakan mereka memiliki berhati yang mulia nilainya. Luar biasa dan tiada yang dapat menghargainya.

Siapa yang merendahkan orang lain, maka dia akan direndahkan pula suatu hari nanti. Itu adalah hukum karma. What goes around comes around. Tetapi selama kita mampu bertahan dalam “kerendahan” itu sendiri? Bagaimana kita dapat bangkit untuk melayani karenah semua tanpa rasa dihargai?

Marilah kita menjadi seperti “TANAH”

Pohon yang tumbuh subur, rumput yang menghijau, buah-buahan yang ranum dan bunga-bunga yang mekar setiap hari kerana TANAH yang memberikan semuanya. Bumi tidak mudah marah tetapi memberikan yang terindah untuk semuanya.

Tetapi kita harus hati-hati, kerana kadangkala terjadi ‘gempa bumi’ atau ‘tanah longsor’. Petanda amaran.

Semua orang dilahirkan dengan darjat yang berbeza. Itu adalah bukan kehendaknya, kerana lahir dalam keluarga yang berbeza. Tetapi, darjat bukan ukuran kepada seseorang untuk mampu atau tidak mampu, untuk menjadi orang yang berjaya. Darjat juga bukan bererti menjadi penghalang untuk seseorang untuk berubah dan mengubah keadaan dan kehidupannya.

Tiada ukuran yang tepat juga untuk menilai seseorang kerana darjatnya. Mereka yang meningkatkan pengetahuan, kerja keras, kesabaran dan kebijaksanaan dirinya sudah tentu akan mengangkat darjat dirinya, derajat keluarganya dan ibubapanya. Seseorang yang memberi manfaat kepada masyarakat pasti akan dikenang banyak orang. Kerana pasti banyak pengorbanan dan perjuangan yang dilakukannya.

Marilah kita meningkatkan kualiti diri untuk menjaga kebersihan hati agar memiliki kerendahan hati dan tidak menjadi orang yang rendah diri. Meningkatkan diri agar memiliki kualiti hati sehingga tidak mungkin ada yang merendahkan kita, malah mungkin dapat meningkatkan darjat hidup orang banyak lain.

Ingatlah tanah yang selalu dipijak-pijak, diludahi, disiram air kotor, dipancang oleh tiang pancang sekalipun, Ia tetap menerima dan selalu memberikan yang terindah untuk semua.

No comments:

Post a Comment